Press
Releases
Letter from
Bakun Region People's Committee to the Deputy Prime
Minister and SUHAKAM (Malay)
3 July 2001
Jawatankuasa Bertindak Rakyat Kawasan Bakun
d/a Batu Kalo
Ulu Balui
96900 Belaga
Sarawak.
Yang Amat Berhormat
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Timbalan Perdana Menteri Malaysia
Pejabat Timbalan Perdana Menteri
Aras 4, Blok Barat
Kompleks Jabatan Perdana Menteri
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 Putrajaya
Selangor Darul Ehsan.
Yang Berbahagia
Tan Sri Dato' Haji Anuar Dato' Haji Zainal Abidin
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia
Tingkat 29 Menara Tun Razak
Jalan Raja Laut
50350 Kuala Lumpur
3 JULAI 2001
Yang Amat Berhormat/Yang Berbahagia,
Rayuan untuk
perhatian dan tindakan segera ke atas masalah yang dihadapi oleh
penduduk Sungai Asap, Hulu Sungai Balui dan Sungai Belaga, Sarawak
Kami, Jawatankuasa
yang terdiri daripada penduduk-penduduk rumah panjang di Skim Penempatan
Semula Bakun di Sungai Asap dan rakyat di kawasan Hulu Balui dan
Sungai Belaga ingin menarik perhatian pihak Yang Amat Berhormat/Yang
Berbahagia terhadap masalah-masalah yang kami hadapi akibat daripada
keputusan Kerajaan Persekutuan untuk membina Empangan Hidroelektrik
Bakun.
Berikut adalah
masalah-masalah yang melanda komuniti-komuniti tempatan yang amat
memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada pihak Kerajaan:
I. Penduduk
yang terpaksa berpindah dari sekitar Sungai Balui - isu pampasan
yang masih belum selesai
Masih ramai
antara kami, yakni pemilik-pemilik tanah adat yang terpaksa berpindah
akibat projek Bakun, telah tidak diberi pampasan dan gantirugi untuk
beberapa bidang-bidang tanah adat serta kebun getah, koko, kopi
dan pokok buah-buahan kami. Ini telah berlaku kerana cara dan kaedah
untuk mengukur dan menentukan hakmilik ataupun kedudukan tanah kami
yang akan dibanjiri adalah kabur dan tidak mengikut prosedur yang
sepatutnya.
Kami memohon
perhatian Yang Amat Berhormat/Yang Berbahagia terhadap aduan-aduan
di bawah:
 |
Banyak
bidang-bidang tanah adat (termasuk kebun besar) tidak disukat
kerana pekerja-pekerja dari Jabatan Tanah dan Ukur mendakwa
bahawa kawasan-kawasan tersebut berada di luar perimeter kawasan
yang ditinjau. Tetapi siasatan kami menunjukkan bahawa tanah-tanah
tersebut sememangnya berada dalam kawasan yang akan dibanjiri. |
 |
Terdapat
bidang-bidang tanah dan kebun yang kami tuntut sebagai tanah
adat telah dimasukkan dalam kategori tanah kerajaan secara sesuka
hati tanpa dibuat sebarang penyiasatan lanjut untuk menentukan
sejarah penggunaan dan tuntutan kami terhadap tanah tersebut. |
 |
Banyak
bidang-bidang tanah adat kami yang di luar dari kawasan gazet
(untuk menghapus hak adat bumiputra) telah juga tidak disukat
dan diberi pampasan sedangkan kami juga kehilangan kegunaan
tanah tersebut kerana kami dipaksa berpindah dari tanah kami. |
 |
Terdapat
juga bidang-bidang tanah adat dan kebun-kebun kami yang tidak
diberi pampasan walaupun tanah/harta tersebut telah dinilaikan.
Walaupun aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa, namun tiada
tindakan telah diambil. |
Oleh kerana
perkara-perkara tersebut di atas, ramai antara kami tidak menerima
jumlah pampasan yang sewajarnya kerana sebahagian besar atau kesemua
tanah/harta kami terletak dalam kawasan yang dipertikaikan. Ini
telah menyebabkan kami terpaksa memulakan kehidupan baru dalam keadaan
yang sungguh rumit. Ternyata, ini adalah satu penindasan dan penipuan
yang telah berlaku sejak dari awal lagi sebelum operasi penempatan
semula dijalankan.
Maka itu, kami
merayu kepada pihak Kerajaan Persekutuan supaya memastikan bahawa:
 |
Jabatan
Tanah dan Ukur Sarawak mengukur semula semua bidang-bidang tanah
adat dan kebun kami di tempat asal di sekitar kawasan Sungai
Balui untuk memastikan bahawa semua individu yang terlibat mendapat
pampasan yang mencukupi dan sepatutnya. |
Sebelum Projek
Empangan Hidroelektrik Bakun diteruskan, segala masalah yang berhubung
dengan tanah dan pampasan ini mestilah diselesaikan dahulu untuk
mengelakkan kehilangan bukti berkenaan dengan hak adat kami ketika
tanah tersebut sudah dibanjiri kelak. Jika survei tersebut masih
tidak dijalankan dan pampasan yang sewajarnya tidak diberi, maka
tanah-tanah tersebut adalah masih hakmilik kami dan kami berhak
untuk menetap di kawasan tempat asal kami.
II. Skim
Penempatan Semula Bakun di Sungai Asap
Bagi penduduk-penduduk
dari sekitar Sungai Balui yang sudah berpindah ke Sungai Asap, mereka
kini sedang menghadapi pelbagai masalah-masalah yang semakin meruncing
dan menekan.
Berikut adalah
masalah-masalah tersebut:
 |
Tanah
yang diperuntukkan di Sungai Asap tidak mencukupi dan tidak
sesuai
Tanah seluas tiga (3) ekar yang diberi kepada setiap keluarga
adalah tidak mencukupi untuk membolehkan kami meneruskan cara
dan corak pertanian kami secara berterusan. Dalam masa satu
atau dua tahun lagi kami tidak akan dapat menggunakan tanah-tanah
tersebut untuk menanam padi yang merupakan makanan utama kami
kerana tanah tersebut akan kehilangan kesuburannya. Dalam
jangkamasa panjang, keluasan tanah yang diberi tidak akan
mencukupi untuk dibahagikan kepada anak-anak kami.
Selain
daripada itu, terdapat juga banyak bidang tanah yang kami
dapati tidak sesuai untuk pertanian. Ramai antara kami gagal
untuk mendapatkan sebarang hasil dari bidang-bidang tanah
tersebut kerana ia mengandung pasir sahaja. Lebih merumitkan
keadaan, terdapat juga antara kami yang tidak dapat bercucuk
tanam di atas plot tanah yang diberi kerana plot-plot tersebut
terletak di kawasan yang jauh, terpencil dan sukar diterokai.
Akibat
dari masalah di atas, telah banyak berlaku kes pergaduhan
dan perselisihan faham antara kampung atau individu kerana
perebutan apa sahaja bidang-bidang tanah yang belum diterokai
termasuklah tanah kerajaan.
|
 |
Ramai
penduduk sedang mengalami masalah kekurangan makanan
Akibat kekurangan tanah pertanian dan peluang pekerjaan serta
upah yang rendah untuk tenaga buruh di Sungai Asap, ramai antara
kami telah mengalami masalah kekurangan makanan terutamanya
dari segi bekalan daging, ikan dan sayur-sayuran. Malah terdapat
keluarga di Rumah Panjang Uma Ukit dan Uma Penan yang terpaksa
mengambil nasi bersama daun ubi atau garam sahaja atau hanya
berpeluang makan sekali dalam sehari sahaja.
Kebanyakan kami juga sudah kehabisan wang pampasan kerana terpaksa
berbelanja untuk membeli makanan seharian. |
 |
Rumah
di Sungai Asap yang dijual kepada kami pada harga RM52,000
sepintu adalah terlalu mahal dan tidak wajar
Ramai antara kami tidak akan mampu membayar jumlah tersebut
oleh kerana cara kehidupan di Sungai Asap sangat bergantung
kepada wang untuk perbelanjaan keperluan seharian.
Selain
daripada itu, rumah yang disediakan juga dibuat daripada bahan-bahan
yang kurang memuaskan dan rendah mutu pembinaannya. Kertas
ini tidak cukup untuk kami menyenaraikan perkara-perkara yang
tidak memuaskan bagi keadaan rumah yang dijual pada harga
tersebut.
Kami
terkejut dengan harga rumah yang sebegitu mahal sedangkan
kami difahamkan bahawa harga sebuah unit rumah murah di Kuala
Lumpur dan Selangor adalah hanya antara RM25,000 ke RM40,000
sahaja.
Tambahan
lagi, rumah kami di tempat asal yang lebih kukuh, besar dan
dibina dengan bahan-bahan yang lebih bermutu tinggi dinilaikan
pada harga yang jauh lebih rendah berbanding dengan rumah
di Sungai Asap yang berharga RM52, 000 walaupun lebih kecil
dan kurang bermutu.
|
 |
Pembayaran
pampasan rumah lama tidak pernah diterima
Kami tidak pernah menerima bayaran pampasan bagi rumah lama
kami, walaupun rumah-rumah ini telah dinilaikan. Kami telah
dimaklumkan yang kesemua wang pampasan rumah di Sungai Balui
ini akan ditolak dari harga rumah baru kami di Sungai Asap
tanpa mengambil kira sama ada kami mahu berpindah ke Sungai
Asap atau tidak.
Ini adalah
suatu tindakan yang salah kerana ia secara langsung telah
menafikan kami hak untuk memilih sendiri kawasan baru untuk
berpindah.
|
 |
Peluang
pekerjaan dan sumber pendapatan yang tidak tetap
Peluang pekerjaan yang ada pada masa ini hanyalah terdapat di
ladang-ladang kelapa sawit. Kebanyakan pekerja hanya menerima
gaji sebanyak RM15.00 sehari sahaja. Oleh itu jumlah pendapatan
sebulan mereka adalah hanya kira-kira sebanyak RM300.00. Jumlah
ini adalah di bawah paras kemiskinan di Malaysia. Orang-orang
kami yang pergi bekerja di ladang ini pergi dalam keadaan terpaksa
kerana mereka sudah sangat terdesak. |
 |
Kemudahan
asas yang tidak lengkap
Banyak kemudahan asas yang dijanjikan sebelum berpindah tidak
disediakan di Skim Penempatan Semula Bakun di Sungai Asap.
Kekurangan dari segi kemudahan tersebut termasuklah:
a. Sekolah menengah tidak dibina. Anak-anak kami masih pergi
ke tempat yang jauh untuk mendapat pelajaran di sekolah menengah.
b. Tidak
ada pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas. Setiap hari
kami terpaksa menggunakan pengangkutan swasta atau persendirian
yang mengenakan bayaran tinggi.
Bagi pelajar-pelajar
sekolah rendah, jika ibubapa mereka tidak mampu untuk menyediakan
wang tambang, mereka terpaksa tinggal di asrama yang disediakan
dan berpisah dengan keluarga pada usia yang sangat muda. Di
tempat lama kami, anak-anak kami boleh ke sekolah dengan hanya
berjalan kaki atau menaiki perahu.
c. Keadaan
jalan raya di Sungai Asap juga tidak disiapkan sepenuhnya.
Jalan yang ada sekarang masih tidak berturap, berdebu, lecak,
kotor, berlubang, tidak rata dan berbahaya untuk pengguna
motosikal.
|
 |
Bayaran
untuk pembekalan air dan elektrik
Ramai
keluarga di Sungai Asap sedang menghadapi masalah untuk membayar
bil-bil air dan elektrik yang dibekalkan. Banyak bil sudah terkumpul
untuk beberapa bulan yang lalu. Kami telah menerima surat amaran
menggesa kami menjelaskan bil-bil tersebut. Kegagalan kami menjelaskan
bil-bil tersebut mungkin akan menyebabkan bekalan air dan elektrik
kami dipotong. Ini bererti hak kami untuk mendapatkan keperluan
asas seperti air akan terjejas. Kami juga tidak dapat menggunakan
air dari sungai-sungai yang berdekatan kerana kebanyakan pengaliran
air dari tandas pergi ke sungai-sungai tersebut. |
Yang Amat Berhormat/Yang
Berbahagia, kami memandang masalah-masalah tersebut dengan serius
kerana semuanya melibatkan keadaan kehidupan kami seharian, bukan
sahaja untuk hari ini tetapi juga untuk jangkamasa panjang.
Masalah-masalah
tersebut yang telah menyebabkan kami terperangkap dalam keadaan
yang rumit, menunjukkan wujudnya kelemahan, kesilapan dan kegagalan
di pihak Kerajaan dari peringkat perancangan, pendekatan sehinggalah
kepada peringkat pelaksanaan projek.
Oleh yang demikian,
kami merayu kepada Yang Amat Berhormat/Yang Berbahagia untuk menggunakan
kuasa yang dimandatkan kepada Yang Amat Berhormat/Yang Berbahagia
untuk mempertimbangkan tindakan-tindakan yang sewajarnya diambil
bagi memenuhi permintaan dan seruan kami seperti berikut:
i. Kerajaan
harus memperuntukkan tanah yang lebih luas kepada kami, kerana tanah
seluas tiga (3) ekar sepintu itu memang tidak mencukupi. Dari awal
sebelum proses pemindahan bermula lagi kami telah meminta sekurang-kurangnya
sepuluh (10) ekar sepintu dan kerajaan negeri sendiri pernah bercadang
untuk memberi kami tanah seluas tujuh (7) ekar sepintu.
Jika perkara
ini tidak diberi perhatian, maka kami harus diberi kebebasan untuk
pulang ke tempat asal.
ii. Rumah di
Sungai Asap harus diberi dengan percuma sebagai pengganti rumah
kami di tempat asal. Kami tidak pernah meminta untuk dipindahkan
dari kawasan sekitar Sungai Balui, sebaliknya kami telah berpindah
secara "terpaksa".
Pampasan untuk
rumah di tempat asal kami juga harus dijelaskan kepada para pemilik.
Adalah salah dari segi undang-undang untuk menahan (retain) wang
pampasan tersebut kerana perbuatan sedemikian menghalang kami dari
menggunakan wang milik kami sendiri.
iii. Keperluan
asas seperti air harus dibekalkan secara percuma kerana bayaran
yang dikenakan sangat membebankan kami. Di tempat asal kami, kami
tidak perlu membayar untuk bekalan air paip.
iv. Kerajaan harus membuat penyiasatan terhadap mutu dan keadaan
rumah panjang kami di Sungai Asap bagi mengenalpasti segala kekurangan
rumah panjang tersebut dari segi bahan-bahan dan cara pembinaan
serta dari segi keselamatan dan mengambil langkah secepat mungkin
untuk memperbaiki rumah-rumah tersebut.
v. Oleh kerana
segala kerumitan yang telah diterangkan secara terperinci di atas,
ramai penduduk di Sungai Asap telah memilih untuk pulang semula
ke hulu Balui untuk menetap bersama keluarga-keluarga yang telah
memilih untuk tidak berpindah ke Sungai Asap.
Kami menggesa
pihak Kerajaan untuk tidak menghalang para penduduk tersebut dari
terus tinggal di hulu Balui di tanah yang sememangnya merupakan
kawasan milik mereka secara turun-temurun, kerana mereka berhak
untuk menentukan masa hadapan mereka sendiri dan berhak juga untuk
memilih kawasan penempatan mereka yang baru.
vi. Kemudahan
asas seperti sekolah menengah harus dibina di Sungai Asap dan pengangkutan
awam seperti bas haruslah juga disediakan. Jalanraya di kawasan
tersebut juga harus diperbaiki dan diturap secepat mungkin.
III. Masalah
penduduk-penduduk dari sekitar Sungai Balui yang telah berpindah
ke hulu
Buat pengetahuan
Yang Amat Berhormat/Yang Berbahagia, di antara penduduk-penduduk
yang terpaksa dipindahkan, sebilangan dari kami telah membuat keputusan
secara bebas untuk tidak berpindah ke Sungai Asap. Sebaliknya kumpulan
ini telah memilih untuk membina hidup baru di kawasan pilihan sendiri
di hulu Sungai Balui.
Kami telah membuat keputusan ini kerana tidak yakin yang kehidupan
di Sungai Asap akan membawa perubahan-perubahan yang lebih baik
seperti yang dijanjikan. Kami merasakan yang kawasan Sungai Asap
bukanlah suatu pilihan yang baik buat kami dan kami percaya kami
mempunyai hak untuk menentukan hala tuju masa hadapan kami.
Lantas itu,
oleh kerana keputusan kami untuk tidak berpindah ke Sungai Asap,
kami telah terpaksa berhadapan dengan akibat-akibat tertentu yang
kami rasakan adalah tidak adil dan mencabul hak-hak asasi kami.
Berikut adalah
masalah-masalah yang terpaksa ditanggung oleh penduduk-penduduk
yang telah memilih untuk berpindah ke hulu Sungai Balui.
 |
Bayaran
pampasan yang belum dijelas
Pihak berkuasa memaklumkan kepada kami bahawa baki 70 peratus
dari pampasan bagi harta benda dan tanah yang kami telah tinggalkan
di tempat lama tidak akan dibayar kepada kami selagi kami
tidak berpindah ke Sungai Asap.
Kami merasakan
bahawa keadaan ini melibatkan dua buah hak yang berlainan
dan tidak seharusnya dikaitkan dengan sedemikian rupa. Kami
mempunyai hak untuk dibayar gantirugi sepenuhnya seperti penduduk-penduduk
yang telah pindah ke Sungai Asap kerana kami juga telah kehilangan
tanah dan harta benda di kampung halaman kami. Pada masa yang
sama, kami mempunyai hak untuk memilih tempat tinggal baru
kami tanpa dipaksa berpindah ke Sungai Asap. Bayaran gantirugi
kepada kami tidak harus dikaitkan dengan isu pemindahan ke
Sungai Asap.
|
 |
Pampasan
rumah dan pembayaran perpindahan dan gangguan
Mereka yang memilih untuk berpindah ke hulu juga berhak untuk
menerima wang pampasan bagi rumah lama mereka kerana mereka
juga telah kehilangan rumah-rumah kami seperti penduduk-penduduk
yang telah berpindah ke Sungai Asap.
Tambahan
lagi, bagi mereka yang berpindah dari rumah asal ke tempat
pilihan mereka sendiri dan bukan ke Sungai Asap, mereka dinafikan
pembayaran perpindahan dan gangguan.
Ini adalah
sesuatu yang sangat tidak adil.
|
 |
Kelengkapan
awam tidak dibina
Kami juga mengalami kesulitan-kesulitan tertentu kini kerana
kawasan kami sekarang tidak ada kelengkapan-kelengkapan awam
yang asas seperti sekolah dan klinik seperti yang terdapat
sebelum ini.
Secara
ringkasnya, adalah nyata yang masalah-masalah di atas adalah
berbentuk ugutan untuk mendesak kami supaya berpindah ke Sungai
Asap. Ini adalah suatu penindasan yang harus dihentikan segera.
Kami ingin menegaskan bahawa keputusan kami untuk memilih
berpindah ke hulu adalah berdasarkan sebab-sebab yang munasabah
yang telah tidak diendahkan oleh pihak berkuasa.
|
Oleh itu kami
menyeru supaya:
i. Baki pampasan
untuk harta benda dan tanah kami sebanyak 70 peratus berserta dengan
bayaran pampasan rumah dan bayaran perpindahan serta gangguan itu
dibayar kepada kami secepat yang mungkin kerana itu adalah hak kami.
ii. Pihak berkuasa
menyediakan kemudahan dan perkhidmatan asas seperti klinik dan sekolah
untuk kami kerana penyediaan kemudahan asas adalah tanggungjawab
kerajaan, tidak kira di mana rakyat berada.
IV. Penduduk di sekitar Sungai Belaga
Pihak Berkuasa
yang menguruskan projek ini telah tidak mengambil kira pelbagai
kesan projek Bakun yang sememangnya menjangkau lebih dari kawasan
yang akan dibanjiri. Pelbagai akibat buruk kini telah mula dirasa
oleh penduduk-penduduk sekitar Sungai Belaga akibat pembangunan
kemudahan dan kawasan penempatan semula di Sungai Asap dan ini nyatanya
telah menjejaskan kepentingan-kepentingan ekonomi kami.
 |
Pampasan
untuk jalan raya Tubau-Bakun Access Road
Buat pengetahuan Yang Amat Berhormat/Yang Berbahagia, pembangunan
jalan raya Tubau-Bakun Access Road, yakni sebuah kemudahan
bagi Empangan Hidroelektrik Bakun telah merentas masuk ke
dalam kawasan tanah adat penduduk-penduduk di Rumah Panjang
Uma Sambop di Belaga.
Kawasan
kami yang terjejas adalah pertamanya, dari km 36 ke km 43
dan kedua, sepanjang 4 km dari km 36 ke jalan masuk ke Sungai
Asap. Tanah kami telah dicerobohi pada tahun 1997 dan tanaman-tanaman
kami serta harta benda kami seperti rumah telah dimusnahkan
oleh pembangunan projek ini.
Namun,
kami tidak diberi pampasan sehingga hari ini.
|
 |
Penebangan
pokok buah-buahan di tebing Sungai Belaga.
Pada tahun 1997, tanah di mana pokok buah-buahan kami ditanam
di tebing Sungai Belaga telah ditinjau oleh para pekerja dari
Jabatan Tanah dan Ukur dan seterusnya pokok-pokok tersebut
semuanya habis ditebang.
Kami telah
dipanggil berbincang dengan pihak berkuasa pada 1998 dan diberitahu
operasi tersebut adalah untuk menyediakan sebuah "bank
reserve" dan sehingga sekarang kami masih tidak jelas
apakah tujuan penebangan tersebut iaitu sama ada adakah ia
ada apa-apa perkaitan dengan projek Bakun.
Kami juga
tidak menerima pampasan bagi kerugian ini.
|
 |
Pencerobohan
ke atas tanah adat kami oleh ladang kelapa sawit
Ketika Skim Penempatan Semula Bakun di Sungai Asap mula dibangunkan,
banyak syarikat-syarikat kelapa sawit membuka ladang mereka
di sekitar Belaga, yang pada asalnya bertujuan untuk memberi
peluang pekerjaan kepada penduduk-penduduk yang akan dipindahkan.
Salah
satu syarikat tersebut yang kami syaki dipunyai oleh Ekran
telah menceroboh tanah-tanah adat kami pada tahun 1996 dan
sehingga ini kami juga telah tidak diberi sebarang ganti rugi.
|
 |
Tekanan
ke atas sumber akibat pertambahan penduduk di Belaga
Apabila Kerajaan memindahkan kira-kira 10,000 orang dari kawasan
sekitar Sungai Balui ke Sungai Asap, ini telah menimbulkan
banyak masalah pada penduduk tempatan di kawasan yang berhampiran
dengan penempatan baru ini dan pada penduduk di sekitar Belaga
secara amnya.
Rumah
Panjang Uma Sambop hanya kira-kira 12 km sahaja dari Sungai
Asap dan seperti yang telah kami maklumkan di atas, ramai
penduduk-penduduk di sana tidak mempunyai tanah pertanian
yang mencukupi dan sempurna untuk kegunaan mereka.
Akibat
tekanan-tekanan hidup yang mendesak, sesetengah mereka kini
telah mula mencari kawasan-kawasan sekitar untuk bercucuk
tanam, luar dari kawasan yang diperuntukkan kepada mereka.
Maka itu, ada di antara mereka yang telah mula bercucuk tanam
di atas kawasan tanah adat Uma Sambop.
Ini meletakkan
kami dalam keadaan yang sukar. Kami sedar kesulitan hidup
yang mereka alami di Sungai Asap namun nyatanya hak dan kepentingan
kami di sini juga sudah terjejas.
Jika kami
melarang mereka tentunya akan timbul pergaduhan terbuka yang
hanya akan memburukkan lagi keadaan, namun jika kami diamkan
perkara ini lama kelamaan tentunya lebih banyak tanah-tanah
adat kami yang akan terjejas.
Di samping
itu, tekanan penduduk ini juga turut menjejaskan sumber-sumber
lain di kawasan Belaga seperti hasil sungai dan hasil hutan.
Di kawasan tersebut kini, semakin sukar untuk mendapatkan
hasil buruan, ikan dan rotan.
|
Maka itu, kami
menuntut di sini agar:
i. Pampasan
diberi ke atas bahagian-bahagian tanah adat kami yang telah diambil
akibat dari projek kemudahan Bakun - Bakun-Tubau Access Road.
ii. Pihak Berkuasa mestilah mengambil tanggungjawab penuh untuk
menyelesaikan masalah pencerobohan tanah adat kami oleh penduduk-penduduk
dari Sungai Asap dan syarikat perladangan kelapa sawit.
iii. Perundingan
yang terbuka mestilah dijalankan antara Pihak Berkuasa dan penduduk-penduduk
di Belaga yang terjejas mata pencarian mereka akibat dari tekanan
penduduk di Sungai Asap. Jelas sekali adalah tidak adil hanya penduduk-penduduk
yang dipindahkan sahaja menerima pampasan sedangkan kehidupan kami
juga turut terjejas akibat pemindahan mereka di kawasan kami.
Kami berharap dan berdoa agar pihak Yang Amat Berhormat/Yang Berbahagia
dapat mengambil tindakan yang sewajarnya agar segala permintaan
kami di atas dapat dipenuhi secepat yang mungkin.
Walaupun operasi
penempatan semula dan pembayaran pampasan adalah dikendalikan oleh
pihak Kerajaan Negeri Sarawak, Projek Empangan Hidroelektrik Bakun
adalah projek Kerajaan Persekutuan. Justeru itu, Kerajaan Persekutuan
juga mempunyai tanggungjawab untuk melindungi hak dan kebajikan
kami serta memastikan yang kami dilayan secara adil kerana kami
juga adalah rakyat Malaysia.
Banyak pihak
termasuk kami sendiri telah beberapa kali merayu kepada pihak Kerajaan
Negeri untuk membetulkan keadaan di Sungai Asap dan di hulu Balui
tetapi rayuan-rayuan tersebut tidak menghasilkan tindakan-tindakan
dan jalan penyelesaian yang diharapkan.
Kini adalah
jelas dan nyata, bahawa projek Bakun mempunyai kesan-kesan buruk
yang menjejaskan lebih ramai rakyat dari yang dijangkakan, bukan
sahaja rakyat yang terpaksa dipindahkan. Masalah-masalah ini mestilah
ditangani dan diselesaikan secara adil satu per satu.
Oleh sebab itu,
kami telah sanggup untuk datang dari jauh semata-mata untuk menarik
perhatian pihak Kerajaan Persekutuan/SUHAKAM terhadap rayuan-rayuan
dan gesaan-gesaan kami di atas.
Keprihatinan
dari pihak Yang Amat Berhormat/Yang Berbahagia sangatlah kami hargai.
Sekian, terima
kasih.
Yang benar,
Ahli-ahli Jawatankuasa Bakun Region People's Committee (BRPC)
1. Bato Bagi
(Pengerusi)
2. Lahang Ului (Naib Pengerusi)
3. Dato Lian (Bendahari)
4. Garah Jalong (Setiausaha)
5. Killah Alang (Ahli)
6. Bit Buneng (Ahli)
7. Saran Imu (Ahli)
8. Gani Dian (Ahli)
9. Laing Imang (Ahli)
10. Arong Ludong (Ahli)
11. Awang Sa (Ahli)
12. Take Baling (Ahli)
13. Awi Jeno (Ahli)
14. Andrew Lasah (Ahli)
15. Ngajang Midin (Ahli)
|