Press
Releases
Letter from
the Concerned Citizens of Belaga to the Deputy Prime Minister and
SUHAKAM on Bakun's impacts on downstream communities (Malay)
3 July 2001
Rakyat prihatin
dari hilir Sungai Balui
d/a Ronald Bete Lahang
Lot no. 1048
Jalan Taman Tipong Tului
96900 Belaga
Sarawak
Yang Amat Berhormat
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Timbalan Perdana Menteri Malaysia
Pejabat Timbalan Perdana Menteri
Aras 4, Blok Barat
Kompleks Jabatan Perdana Menteri
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 Putrajaya.
Yang Berbahagia
Tan Sri Dato' Haji Anuar Dato' Haji Zainal Abidin
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia
Tingkat 29 Menara Tun Razak
Jalan Raja Laut
50350 Kuala Lumpur 3 JULAI 2001
Yang Amat Berhormat/Yang
Berbahagia,
Kesan Empangan
Bakun ke atas Masyarakat di Hilir Sungai Balui
Kami, sekumpulan
rakyat prihatin yang berada di hilir Sungai Balui ingin menarik
perhatian Yang Amat Berhormat/Yang Berbahagia terhadap beberapa
isu penting mengenai kesan-kesan Empangan Bakun ke atas masyarakat
di hilir Sungai Balui yang kami rasakan telah dipinggirkan oleh
Pihak Berkuasa.
Kami berasa
amat dukacita bahawa masyarakat yang menetap di hilir Sungai Balui,
yakni kawasan yang akan berada di hilir Empangan Bakun dan masyarakat
di pekan Belaga secara amnya telah tidak dikenalpasti sebagai masyarakat
yang akan terjejas oleh projek ini.
Oleh sebab itu,
Pihak Berkuasa sehingga kini masih belum lagi mengumumkan sebarang
rancangan yang mengambil kira kesan-kesan Empangan Bakun ke atas
masyarakat di hilir empangan, sebagai sebahagian daripada kesan
projek ini ke atas masyarakat setempat. Dengan itu, tidak ada sebarang
persediaan dengan pelan-pelan tindakan yang dapat menangani sebarang
masalah yang bakal timbul.
Maka itu, kami
di sini ingin menarik perhatian pihak Yang Amat Berhormat/Yang Berbahagia
tentang kebimbangan kami terhadap masa hadapan kami. Berikut adalah
perkara-perkara yang kami berharap akan diambil perhatian oleh Pihak
Berkuasa:
 |
Keselamatan
empangan dan penduduk di hilir
Walaupun kami mengetahui akan kewujudan sebuah Emergency Rescue
Plan (ERP) yang telah dirangka bagi menghadapi kemungkinan
kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap struktur Empangan
Bakun, namun sehingga kini kami masih belum dimaklumkan dengan
lanjut mengenai prosedur-prosedur yang terkandung dalam pelan
ini.
Memandangkan
lokasi kami yang berada benar-benar di hilir empangan ini,
adalah sangat wajar untuk kami berasa bimbang tentang kemungkinan
berlakunya sebarang keruntuhan ataupun kegagalan dari segi
fungsi empangan tersebut, yang akan menyebabkan kerugian kepada
kami serta mengancam keselamatan dan nyawa kami.
Kami sangat kesal atas kegagalan pihak Kerajaan dalam meneliti
masalah ini. Hak dan kebajikan kami nyatanya telah diabaikan
di sini.
|
 |
Kesan-kesan
pembinaan empangan ke atas kualiti air dan kehidupan akuatik
di hilir Sungai Balui serta mata pencarian dan kesihatan rakyat
di hilir
Laporan Suruhanjaya Empangan Sedunia (World Commission on
Dams) yang diterbitkan pada November 2000 telah menyatakan
dengan jelas bahawa habitat di hilir sesebuah empangan itu
seringkali mengalami perubahan-perubahan tertentu yang akan
mencipta persekitaran yang menggalakkan pembiakkan spesies-spesies
luar dan ini seterusnya dapat menjejaskan populasi spesies-spesies
asal sesebuah sungai tersebut.
Menurut
laporan tersebut lagi, ekosistem yang telah berubah boleh
menjadi tidak stabil, menjejaskan sumber-sumber ikan yang
menjadi rezeki para nelayan dan membiakkan agen-agen penyakit
yang berbahaya kepada manusia dan spesies lain. Seterusnya,
sungai tersebut tidak akan dapat menyokong masyarakat serta
aktiviti budaya dan ekonomi yang wujud di hilir yang telah
menjadi sebahagian sejarahnya.
Contoh-contoh
dari empangan besar lain di seluruh dunia telah menunjukkan
yang perubahan habitat ini boleh menyebabkan akibat-akibat
yang sangat buruk kepada penduduk yang bergantung kepada sungai
yang telah diempang untuk kehidupan seharian mereka.
Di seluruh
dunia, banyak masyarakat di sepanjang sungai di hilir empangan-empangan
besar telah terpaksa menanggung bahaya dan kerugian yang tinggi
akibat dari pembinaan empangan-empangan tersebut - dari berhadapan
dengan serangan penyakit kulit yang serius sehinggalah kepada
kehilangan punca pendapatan.
|
 |
Pencemaran
di hilir Sungai Balui
Akibat dari pembukaan kawasan penempatan semula di Sungai
Asap dan ladang-ladang kelapa sawit, kami khuatir yang Sungai
Balui di kawasan hilir akan semakin tercemar oleh bahan-bahan
organik dan racun serangga.
Proses
pembinaan empangan tersebut juga telah sedikit sebanyak mencemarkan
mutu air Sungai Balui. Selain daripada itu, kami juga turut
khuatir yang sistem pengangkutan sungai akan terjejas akibat
projek ini.
|
Oleh itu, memandangkan
perkara-perkara yang membimbangkan ini, kami, penduduk hilir Balui
menuntut agar:
Kami berharap
agar pihak Kerajaan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya agar
segala permintaan kami di atas dapat dipenuhi secepat yang mungkin.
Sudah tiba masanya
Pihak Berkuasa meneliti kesan-kesan pembangunan Empangan Bakun terhadap
masyarakat yang berada di hilir Sungai Balui, dan mengakui bahawa
hak-hak kami kepada sumber mata pencarian yang tetap serta kehidupan
yang sihat dan selamat mungkin akan terjejas di masa hadapan.
Seterusnya juga,
pihak Kerajaan juga haruslah berusaha untuk berunding secara terbuka
dengan para penduduk agar tindakan-tindakan segera dapat diambil
untuk melindungi kepentingan-kepentingan kami.
Oleh sebab itu,
kami telah sanggup untuk datang dari jauh semata-mata untuk menarik
perhatian pihak Kerajaan Persekutuan terhadap rayuan-rayuan dan
gesaan-gesaan di atas.
Perhatian dari
pihak Yang Amat Berhormat/Yang Berbahagia sangatlah kami hargai.
Sekian, terima
kasih.
Yang benar,
1. Bete Lahang
- Uma Badang, Long Dungan, Belaga
2. Joseph Unak - Uma Aging
3. Sem Kiong Angin - Pasar Belaga
4. Lidom Jiu - Uma Punan Sama
5. Raymond Abin - Long Mejawali, Belaga
6. Semain Taja - Pasar Belaga
|